Sunday, 27 October 2013

Akhlak Muslim :-)

 
Assalamualaikum sahabat seperjuangan sekalian. Kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai perkara pokok dalam kehidupan seharian kita iaitu AKHLAK. Bercakap mengenai akhlak, ramai orang beranggapan bahawa akhlak adalah suatu isu yang tidak penting untuk dibahaskan. Namun, hakikatnya  akhlak adalah perkara asas yang menjadi jambatan untuk kita mencapai kejayaan yang hakiki iaitu SYURGA ALLAH S.W.T..

" Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya." Saya yakin dan percaya ramai dalam kalangan kita pernah mendengar atau terbaca mengenai ungkapan ini.  Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa pentingnya setiap individu itu perlu menjaga akhlaknya  demi mencantikkan, mewarnai, dan menyempurnakan iman kita.



" Bukan emas permata yang mempercantikkan kita, sebaliknya yang mempercantikkan kita adalah akhlak diri kita sendiri dan kekayaan kita adalah etika kita." Justeru itu, marilah kita sama-sama memperbaiki akhlak kita dari semasa ke semasa dan dalam masa yang sama juga kita haruslah mencontohi akhlak terpuci kekasih Allah S.W.T iaitu Nabi Muhammad SAW. Di sini, saya akan kongsikan beberapa akhlak muslim yang boleh menjadi panduan dalam kehidupan seharian kita. Berbekalkan akhlak-akhlak ini, mudah-mudahan kita akan menjadi insan terpilih yang menghiasi syurga Allah bersama orang-orang beriman dan bertaqwa kepada-NYA. InsyaAllah.



AKHLAK MUSLIM:

1.       Sayang Allah S.W.T

Cintailah Allah kerana Dia telah mengurniakanmu akan nikmatNya. Cintailah (Rasulullah SAW) kerana cinta Allah kepadaku. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2.       Cintakan Islam

Islam itu tinggi dan tidak ada yang melebihinya. (Riwayat Baihaqi)

3.       Berakhlak Baik

Orang yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya. ( Riwayat Tirmizi)

4.       Bertakwa

Bertakwalah kamu di mana saja kamu berada, ikutkanlah perbuatan buruk dengan kebaikan maka kebaikan itu akan menghapuskannya, dan bermuamalah dengan manusia dengan akhlak yang baik. (Riwayat Tirmizi)

5.       Malu kepada Allah S.W.T

Malu adalah sebahagian daripada iman. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

6.       Cinta Rasul

Tidak sempurna iman seseorang antara kamu sehingga aku (Rasulullah) lebih dicintai daripada kedua ibu-bapanya dan seluruh manusia. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

7.       Taat kepada ibu-bapa

Syurga itu dibawah telapak kaki ibu. (RiwayatTirmizi)

8.       Sukakan Ilmu

Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berjuang fisabilillah hingga dia kembali. (Riwayat Tirmizi)

9.       Hormat Tetamu

Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamu. (Riwayat Jama’ah)

10.   Hormat Jiran

Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia menghormati jirannya. (Riwayat Jama’ah)


11.   Mencontohi Rasulullah

Akhlak Rasulullah itu adalah Al-Quran. (Riwayat Muslim)

12.   Suka Buat Baik

Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya. (Riwayat Tirmizi)

13.   Utamakan Silaturrahim

Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung tali silaturrahim. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

14.   Penyabar

Sebaik-baik iman adalah sabar dan berlapang dada. (Riwayat Bukhari dan Dailami)

15.   Penyayang

Orang yang penyayang akan disayangi Allah, sayangilah makhluk Allah di bumi maka kamu akan disayangi makhluk di langit. (Riwayat Tirmizi)

16.   Lemah-lembut

Sesungguhnya Allah suka kelembutan dalam semua urusan. (Riwayat Jama’ah)

17.   Tidak Suka Marah

Bukanlah orang yang kuat itu orang yang kuat bergusti, tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai diri ketika dia sedang marah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

18.   Sayangi Kawan

Tiada dua orang Muslim bertemu lalu berjabat tangan, melainkan diampuni dosa kedua-duanya sebelum mereka berpisah. (Riwayat Abu Daud)

19.   Jujur

Bersikap jujurlah kamu kerana kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa kepada syurga. (Riwayat Muslim)

20.   Sentiasa Bersyukur

Sesiapa yang telah diberi satu kebaikan, maka hendaklah dia membalasnya. Jika dia tidak dapat membalasnya maka hendaklah dia menyebutnya kepada orang lain. Sesungguhnya orang yang menyebutkan kebaikan itu telah pun mensyukuri kebaikan itu. (Riwayatat At-Thabrani)

21.   Berkata Yang Baik

Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata baik atau diam. (Riwayat Jama’ah)

22.   Suka Gosok Gigi

Sekiranya tidak memberatkan bagi umatku maka aku akan perintahkan mereka untuk menggosok gigi (bersiwak) setiap kali hendak solat. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

23.   Sukakan kebaikan

Setiap kebaikan adalah sedekah. (Riwayat Tirmizi)


24.   Selalu senyum

Senyumanmu kepada saudaramu adalah sedekah. (Riwayat Tirmizi)

25.   Saling mengukuhkan

Seorang Mukmin dengan Mukmin yang lain bagaikan bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain. (Riwayat  Jama’ah)

26.   Pemimpin

Kamu semua adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab kepada setiap orang yang dipimpinnya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

27.   Suka memberi

Tangan di atas (memberi) lebih baik dari tangan di bawah (menerima). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

28.   Tidak Bercakap Bohong

Jauhilah sikap berbohong kerana berbohong mengheret kepada keburukan dan keburukan membawa kepada neraka. (Riwayat  Muslim)

29.   Selalu tenang

Tenang itu datang daripada Allah dan tergesa-gesa itu datang daripada syaitan. (Riwayat Abu Ya’la)

30.   Tidak mencela makanan

Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, akan dimakannya dan jika tidak, ditinggalkannya sahaja. (Riwayat Muslim)

31.   Menjaga kata-kata

Kebanyakan dosa anak Adam disebabkan lidahnya. (Riwayat Thabrani dan Baihaqi)

32.   Menjaga Solat

Solat adalah tiang agama. (Riwayat Tirmizi)

33.   Solat Di Awal Waktu

Jika kamu mendengar panggilan azan maka bersegeralah memenuhi panggilan Allah itu. (Riwayat Thabrani)

34.   Utamakan solat

Amalan yang mula-mula dihisab daripada seseorang hamba pada hari kiamat adalah solat, jika solatnya baik maka baiklah segala amalannya, jika solatnya rosak maka rosaklah segala amalannya. (Riwayat Thabrani)

35.   Mencari keredhaan Allah SWT

Sebaik-baik amalan adalah solat tepat pada waktunya dan berbakti kepada ibu-bapa. (Riwayat Muslim)

36.   Mohon Keampunan Allah

Orang yang bertaubat setelah berbuat dosa ibarat seperti orang yang tidak berdosa. (Riwayat Ibnu Majah)

37.   Wuduk Dengan Sempurna

Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna maka dosa-dosanya akan keluar dari tubuhnya hingga hujung kaku-kukunya. (Riwayat Muslim)

38.   Suka Membaca Al-Quran

Sebaik-baik manusia antara kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengerjakannya. (Riwayat Bukhari)

39.   Suka Berpuasa

Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang bernama Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk mengikut pintu itu pada hari kiamat. Tiada seorang pun yang masuk selain daripada mereka yang masuk ke dalam syurga melalui pintu itu. (Riwayat Bukhari)

40.   Suka belajar

Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap orang islam. (Riwayat Ibnu Majah)

41.   Utamakan kebersihan

Islam itu adalah agama yang bersih, maka selalulah kamu membersihkan diri, sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang yang bersih. (Riwayat Baihaqi)

42.   Beristinjak

Bersucilah kamu selepas berhadas (kecil). Umumnya, seksaan kubur disebabkan tidak bersuci selepas berhadas (kecil). (Riwayat Ad-Daruqhutni)

43.   Suka Berdoa

Doa itu adalah satu ibadah. (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasa’i)

44.   Baca Doa Rasulullah

“Ya Allah Ya Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan di akhirat, serta jauhkanlah kami dari azab api neraka.” (Riwayat Ad-Daruqhutni)


 














No comments:

Post a Comment